Monday, October 18, 2010

tanah kelahiranku

Kluang merupakan nama sebuah bandar dan daerah yang terletak lebih kurang di tengah negeri Johor. Ia terletak 105 km di utara Johor Bahru, tenggara Batu Pahat, barat Mersing dan selatan Segamat. Bilangan penduduk daerah Kluang kini melebihi 250,000 orang dan kawasan bandar itu sendiri mempunyai 140,000 penduduk. Koordinat geografinya ialah: 2°2′01″U, 103°19′10″T
Nama Kluang berasal daripada perkataan Melayu 'keluang', yang bermaksud sejenis kelawar besar ataupun kelawar buah. Haiwan-haiwan sebegini pernah wujud dalam bilangan yang banyak di daerah Kluang beberapa dekad yang lalu; tetapi kini hampir tiada lagi disebabkan aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitat semulajadinya.

Bandar Kluang telah wujud seawal tahun 1910. Polisi kerajaan negeri yang menggariskan rancangan membangunkan tengah Johor dan Kluang sebagai pusat komunikasi telah menjadikan Kluang sebagai pusat pertumbuhan baru. Pembukaan ladang-ladang dan pembinaan landasan keretapi mendorong lebih ramai penduduk berhijrah dan mendiami bandar Kluang.
Pada tahun 1920, dengan mempunyai 5 000 orang penduduk, Lembaga Bandaran Kluang telah ditubuhkan dengan diketuai oleh seorang Merinyu Kesihatan. Mulai tahun 1932, Pegawai Daerah Kluang menyandang jawatan Presiden Lembaga Bandaran Kluang.
Dalam tahun 1957, Lembaga Bandaran Kluang telah dinaik taraf kepada Majlis Bandaran Kluang dengan Pegawai Daerah Kluang sebagai Yang Dipertua. Lima tahun kemudian pada tahun 1962, 5 buah Majlis Tempatan telah di tubuhkan iaitu Majlis Tempatan Kampung Paya, Majlis Tempatan Kampung Gajah, Majlis Tempatan Sri Lalang, Majlis Tempatan Chamek dan Majlis Tempatan Paloh.
Dengan langkah penyusunan semula Majlis Tempatan, maka pada 1.1.1997 Majlis Bandaran Kluang telah disatukan dengan 5 Majlis Tempatan yang lain bagi membentuk Majlis Daerah Kluang Utara di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara telah diperluaskan dengan merangkumi kawasan seluas 126.5 m persegi dengan penduduknya melebihi 65,000 orang.
Bandar Kluang terus berkembang maju di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara. Dengan perlaksanaan projek-projek pembangunan di bawah rancangan Malaysia Lima Tahun dan komitmen kerajaan Negeri untuk membangunkan daerah Kluang, peranan Bandar Kluang sebagai pusat pertumbuhan kawasan tengah Johor semakin nyata. Sektor-sektor ekonomi semakin berkembang dengan pesat. Selain penempatan awal penduduk yang sedia ada, taman-taman perumahan baru terus dibangunkan. Pembinaan ompleks perniagaan di Pusat Bandar Kluang, pembangunan taman-taman perumahan baru dan pembukaan kawasan perindustrian menjadi penyumbang utama kepada perkembangan Bandar Kluang. Bilangan premis kediaman, perdagangan dan perindustrian bertambah dengan pesat. Bilangan keseluruhan pegangan terus meningkat dari 20,500 dalam tahun 1988 kepada 42,455 pegangan dalam tahun 2000. Peningkatan bilangan pegangan ini terus menyumbang kepada pertambahan hasil Majlis dari RM7.72 juta dalam tahun 1988 meningkat kepada RM16.6 juta dalam tahun 2000.
Pembangunan sektor perdagangan dan perindustrian pula telah menjadikan Kluang sebagai destinasi baru pelabur tempatan dan luar negara. Lebih dari 500 buah kilang berbagai jenis yang mengeluarkan produk untuk kegunaan tempatan dan eksport memenuhi 9 buah kawasan perindustrian utama. Di antara kilang-kilang gergasi yang sedang beroperasi ialah kilang membuat jubin, kilang elektronik dan kilang membuat pakaian. Kini Kluang terkenal sebagai pengeluar jubin bermutu tinggi yang terbesar di Malaysia disamping produk elektrik dan elektronik dan pakaian berjenama antarabangsa untuk pasaran dalam negeri dan eksport.
Perkembangan sektor perumahan, industri, perdagangan dan perkhidmatan telah mewujudkan banyak peluang-peluang pekerjaan yang menjadi punca kebanjiran penduduk di Bandar Kluang. Pada tahun 2000, penduduk Kluang telah meningkat kepada 155,000 orang. Untuk memenuhi keperluan penduduk yang bertambah, penyediaan kemudahan asas terus dipertingkatkan. Selain menaik taraf jalan-jalan raya utama dan rangkaian jalan bandar, sebuah terminal pengangkutan awam berharga RM5 juta telah dibina. Dibawah program penswastaan kerajaan Negeri, sebuah stadium sukan berharga RM 24 juta telah didirikan.
Pembangunan pesat Bandar Kluang tidak dapat dibendung lagi. Penduduk Bandar Kluang terus menagih perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Struktur pentadbiran Majlis Daerah Kluang Utara memerlukan perubahan. Sebagai langkah merintis kearah perubahan corak pengurusannya, jawatan yang Di pertua telah diisi dengan sepenuh masa oleh seorang pegawai tadbir Negeri Johor mulai 1.3.1999. Setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan dengan persetujuan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melalui ringkasan Mesyuarat Bil.86/2001 bertarikh 31 Januari 2001 telah mengambil keputusan menaik taraf Majlis Daerah Kluang Utara kepada Majlis Perbandaran yang dikenali dengan nama Majlis Perbandaran Kluang.

0 comments:

Post a Comment